Ucaptama Ketua Dewan Ulamak

June 10, 2010

UCAP UTAMA

KETUA DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

MEMPERKASA KEWIBAWAAN ULAMAK

بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله الواحد الأحد الفرد الصمد الذي لم يلد ولم يولد ولم يكن له كفوا أحد والصلاة والسلام على سيدنا محمد خير العباد وعلى آله وصحبه ومن اهتدى بهديه إلى يوم الميعاد , وبعد :

قال الله تبارك وتعالى في كتابه العزيز :أعوذ بالله من الشيطان الرجيم,  باسم الله الرحمن الرحيم

Yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (Wahai Muhammad) satu jalan kemenangan Yang jelas nyata. Kemenangan Yang Dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu Yang telah lalu dan Yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadaMu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan Yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya). Dan Dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) Dengan sepunuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya). (Al-Fath: 1-3)

I

MUQADDIMAH

Umat Islam kini mengalami keadaan gawat dan genting yang memerlukan tenaga-tenaga penyelamat untuk menangani masalah ini. Situasi kini yang penuh dengan tipu helah ,sepak terajang dan taktik jahat musuh menghendaki hanya golongan yang benar-benar berwibawa sahaja yang berjaya melawan arus keruntuhan ini. Manakala mereka yang kurang persiapan berkemungkinan akan hanyut dan lari sebelum matlamat suci yang ingin diperjuangkan tercapai.

Menyedari hakikat inilah, maka usaha-usaha yang gigih perlu diambil oleh Dewan Ulamak untuk memperlengkapkan diri dengan persediaan yang sepatutnya disamping menjalankan urusan-urusan dakwah untuk menjadikan muka bumi ini hanya diwarisi kepada hamba-hamba Allah yang soleh dan bertakwa. Tema ‘Memperkasa Kewibawaan Ulamak’ sebenarnya dicanangkan demi untuk mencapai kegemilangan DU sebagai pembimbing bagi semua dewan-dewan yang lain. Walaupun tema ini seolah-olah memperkatakan perkara yang sama dengan sub-topik akhir pada muktamar tahun lepas, akan tetapi ianya adalah suatu yang amat penting khususnya dalam persediaan PRU ke-13 yang dijangkakan berlaku dalam waktu yang semakin menghampiri kita. Semoga persediaan diambang PRU ke-13 akan direstui Allah SWT dan persediaan ini adalah pembukaan kepada kemenangan yang besar kepada Parti kita sebagaimana kandungan ayat di atas, insyaAllah.

I

Sidang ahli muktamar sekalian;

MENAMBAH DAN MENTARBIAH AHLI

Menambahkan ahli-ahli dikalangan penyokong kepada Dewan Ulamak adalah satu keperluan pada hari ini. Penambahan ini perlu berasaskan kepada pra syarat yang dipersetujui oleh Dewan Ulamak untuk mempastikan ahli-ahli yang bakal menganggotai dewan ini dapat menaiktarafkan imej dan kewibawaan dewan ini bergerak. Oleh kerana itu, proses tarbiah kepada ahli-ahli menjadi perkara utama selepas pengambilan mereka. Dengan adanya tarbiyah akan menanam dan memperkukuhkan pergantungan yang kuat dari aspek aqidah dan memenuhi syarat-syarat kemenangan yang dijanjikan olehi Allah s.w.t. Dalam hal ini Allah berfirman :

Yang bermaksud: Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami katakutan (dari ancaman musuh).Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq. (Al-Nur: 55)

Segala sifat-sifat yang boleh menghancurkan parti perlu ditangani secepat mungkin,sifat-sifat mazmumah akan melahirkan individu pejuang yang tidak bermoral. Perkara dalaman parti akan dijadikan buah mulut, diharapkan kepada kita semua dapat membuat muhasabah dan membaiki diri sendiri.

pada tahun ini kita sedang melalui proses kematangan apabila jumlah ahli muktamar kita ditingkatkan, bukan sahaja datang dari negeri tetapi datang dari kawasan-kawasan. Ini adalah satu cabaran kepada kita, demi untuk mengumpulkan sejumlah besar ahli bagi memenuhi keperluan perlembangaan baru. Perubahan perlembangaan ini adalah permintaan dari kita juga, maka menjadi tangungjawab kita untuk memenuhinya dan akan dilengkapkan dari masa ke semasa , insyaAllah.

Keahlian ulamak yang berganda memang diperlukan apabila kita melihat kepada persediaan yang patut dilakukan sebelum muktamar yang akan datang. PRU ke-13 memang memerlukan ketahanan, kekentalan jiwa dan semangat, bukan kerana kita tidak kuat dan tidak berupaya tetapi mungkin kerana kekurangan rakan kongsi kita dalam pakatan rakyat yang perlu kita tampung sebagai mengotakan janji setia yang kita ikat dalam tahaluf siasi.

I

Sidang ahli muktamar sekalian;

DAKWAH FARDIAH KUNCI KEMENANGAN

Antara perkara penting yang wajib dimainkan oleh semua pendokong dan penyokong Parti ialah perlaksanaan Dakwah Fardiah. Dakwah fardiah ini adalah intipati kepada seruan dijalan Allah. Menyeru manusia kepada Allah (ad-dakwah ila Allah) adalah kewajipan  setiap muslimin dan muslimat di  setiap masa terutamanya pada zaman sekarang.

Firman Allah SWT dalam hal ini:

Yang bermaksud: Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk. ( An-Nahl: 125)

Realiti yang diakui, dakwah fardiah yang tidak begitu aktif di kalangan kita adalah punca kekurangan penyokong kepada Dewan Ulamak serta memberi impak kepada ketandusan kepimpinan.Tanpa disedari risikonya memandomkan kelangsungan dakwah di kalangan masyarakat Islam di negara kita dan akan memutuskan mata rantai kesinambungan perjuangan yang telah diperjuangkan oleh generasi terdahulu.

Di antara wasilah-wasilah umum yang boleh diketengahkan dalam dakwah fardiah antaranya menggunakan pendekatan:

1.Taujih- iaitu Da’ie menolong mad’u untuk menyelesaikan segala kemusykilannya.Da’ie meletakkan untuk mad’u satu perancangan praktikal supaya berlaku perkembangan yang positif sehingga melayakkan atau menjadikan seorang mad’u kepada seorang da’ie.

2.Tauzif- Da’ie memilih wasilah yang paling sesuai unutk bermuamalat dengan mad’u.Da’ie menentukan kedudukan mad’u di dalam barisan amal islami dan mematangkan mad’u dalam melaksanakan kewajipan itu.Da’ie juga menentukan taklif yang sesuai kepada mad’u sehingga mampu diuji dan dipertingkatkan pengalaman di dalam amal Islami.

3.Tasnif-Membahagikan kemampuan mad’u pada sudut keilmuan, kerohanian, kejiwaan dan kemasyarakatan untuk memastikan bekalan yang diperlukan.

4.Mutabaah- Hubungan berterusan di samping mengkaji kejayan dan kegagalan objektif-objektif yang disusun serta membaiki wasilah yang gagal dan membentuk wasilah baru.

Dengan perlaksanaan keempat-empat wasilah tadi, kita yakin akan dapat menambahkan ahli disamping memberi pentarbiahan yang sewajarnya berlandaskan prinsip yang kita tetapkan.

I

MELAKSANAKAN PERSEDIAAN YANG TERANCANG

Satu kenyataan yang tidak boleh dinafikan bahawa ulamak telah memainkan peranan amat penting dalam penyebaran, mempertahankan serta memelihara kebersihan syariat Islam dari dicemari oleh tangan manusia kotor. Ulamak sepanjang zaman telah menghadapi pelbagai kezaliman dan penganiayaan, namun dengan penuh ketabahan, kesabaran, kecekalan dan keikhlasan mereka, kelangsungan penyebaran agama Islam dapat dipertahankan hingga kini.

Sejak dari zaman awal lagi, ulamak telah menghadapi tekanan dari pihak-pihak tertentu kerana tidak mahu tunduk kepada kehendak nafsu mereka. Ramai ulamak yang dibunuh dan di penjarakan, ada pula yang didera sehingga menemui maut. Namun semua tindakan ini tidak pernah melemahkan semangat keimanan dan keikhlasan para ulamak mujahidin.

Perbuatan menindas para ulamak sedikit sebanyak telah mendatangkan akibat buruk kepada masyarakat Islam. Negara umat Islam menjadi lemah, berpecah sesama sendiri yang akhirnya hampir keseluruhan negara umat Islam dijajah oleh musuh luar Islam. Keadaan ini memerlukan persediaan jiwa, mental dan jasmani yang mantap guna menghadapi cabaran yang dahsyat ini. Walaupun dinegara kita tidak diuji sebagaimana golongan pejuang di Negara lain, namun persediaan yang boleh menguatkan jatidiri seseorang itu perlu diperkuatkan.

Antara persediaan-persediaan yang perlu :

1. Persediaan yang paling utama ialah bersedia menerima ujian dari Allah SWT.

Ini merupakan peraturan dan syarat untuk berjaya.

Firman Allah Taala ;

Yang bermaksud: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar. (Al-Baqarah :155)

Bentuk-bentuk ujian seperti dituduh, difitnah, diugut, dibuang pekerjaan dan sebagainya, adalah sunnah dalam berjuang. Inilah persediaan Rasul dan Nabi-Nabi sebelum mereka diberikan tugas kerasulan. Sebagaimana yang kita lihat di dalam sirah Rasulullah s.a.w umpamanya. Baginda terlebih dahulu diberikan latihan-latihan jasmani dan rohani sebelum kerasulannya.

2.     Bersedia untuk bekerja.

Firman Allah Taala :

Yang bermaksud: Dan Katakanlah (Wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan Segala Yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang Yang beriman akan melihat apa Yang kamu kerjakan. (At-Taubah:105)

Kerja-kerja yang dilakukan ini adalah semata-mata untuk Islam yang bertujuan hanya untuk mencari keredhaan Allah SWT.

3.     Persediaan menjadikan diri sebagai Qudwah Hasanah.

Kita sebagai Ulamak adalah perlu menjadikan diri kita sebagai contoh yang baik kepada masyarakat. Bagaimanakah masyarakat boleh menerima seruan kita ke arah kebaikan dan meninggalkan kemungkaran sedangkan kita sendiri melakukan kemungkaran dan meninggalkan kebaikan. Firman Allah taala:

Yang bermaksud: Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?( Al-Baqarah:44)

4.     Persediaan dari segi rohani.

Kebersihan rohani akan menjadikan seseorang insan itu bertaqwa,mukmin,soleh dan kuat.Ia juga memberikan kesan yang besar kepada dakwah. Doa dari rohani yang suci akan mudah dimakbulkan oleh Allah akan segala kehendak dan diberikan kekuatan.

Firman Allah Taala :

Yang bermaksud: Wahai orang-orang Yang beriman! jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) Yang membezakan antara Yang benar Dengan Yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia Yang besar. (Al-Anfal:29)

5.     Persediaan kesungguhan dalam bekerja.

Firman Allah Taala :

Yang bermaksud: Dan orang-orang Yang berusaha Dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama kami, Sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan Sesungguhnya (Pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang Yang berusaha membaiki amalannya. (Al-Angkabut :69)

Faktor yang menjadikan bersungguh semasa bekerja :

  1. Akidah yang sahih.
  2. Ikhlas.
  3. Menyedari bahawa pekerjaan kita akan dihisab di hadapan Allah.
  4. Bekerja secara berjemaah dan untuk jemaah

6.     Persediaan dari segi harta,jiwa dan waktu.

Firman Allah :

Yang bermaksud: Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada Dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun Dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah Dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

(At-Taubat:41)

Persediaan-persediaan yang telah dinyatakan tersebut memerlukan susun atur yang baik dan dengan perancangan yang jitu supaya ianya dapat dilaksanakan. Antara perancangan penting yang perlu dititik beratkan oleh Dewan Ulamak ialah :

I

MENGENENGAHKAN IKON ULAMAK

Agenda mengetengahkan imej seorang tuan guru bagi setiap kawasan perlu dilaksanakan. Setiap kawasan sebolehnya perlu ada seorang tuan guru. PAS sebagai sebuah parti yang mempunyai keistimewaan islam sebagai dimensi penting, maka imej ini penting untuk diketengahkan kepada masyarakat.

Dengan adanya ulamak di kawasan, di harapkan para ulamak telahpun mempunyai kekuatan di peringkat kawasan. Pada masa terdekat, dupp akan cuba memohon kepada pihak pusat untuk mendapat keizinan menubuhkan dup kawasan secara rasmi.  Sebelum perkara ini dibawa ke pihak pusat, saya ingin mendapat kepastian sejauhmanakah kekuatan kita di peringkat negeri dan kawasan sehingga para ulamak dapat tampil ke hadapan di semua peringkat. Apa yang menjadi kerisauan saya ialah jika kita memohon kedudukan ulamak menjadi dewan di kawasan, timbul pula masalah petugas ulamak yang tidak mencukupi atau kita terpaksa berkongsi dengan pemuda dan muslimat. Maka tugas segera yang perlu dilakukan ialah dengan mendaftarkan seramai mungkin para guru Agama, ustaz dan ustazah, tuan-tuan guru, para penceramah yang mencukupi syarat keanggotaan yang berada di kawasan masing-masing sebagai usaha awal kita ke arah penubuhan dewan ulamak pas di kawasan.

I

Sidang Muktamar sekalian,

CABARAN ULAMAK MASA KINI

Autoriti Ulamak yang terhakis adalah antara cabaran yg semakin mencengkam para ulamak pada masa kini. Cabaran ini sebenarnya sebagai ujian untuk melihat ketahanan para ulamak.Lihatlah firman Allah SWT :

Yang bermaksud: Dan Demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (Wahai orang-orang Yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang Yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang Yang sabar (dalam menjalankan perintah kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu. (Muhammad :31)

Hal ini berlaku dengan perkembangan pelbagai pemikiran moden yang sesat tetapi tetap dianuti dan dipandang tinggi oleh sebahagian umat islam. Setengah mereka terlalu yakin dengan keupayaan akal mereka sehingga menganggap semua perkara yang tidak diterima akal sebagai tidak relevan dan tidak perlu diambil kira dalam perbahasan dan perbincangan. Jika pada suatu masa dahulu, pemikiran sebegini hanya kedengaran di luar sana, tetapi pada zaman teknologi moden ini, semua perkara menggunakan pertimbangan akal. Inilah kemelut yang melanda sebahagian dari ahli pas di era kemenangan ini. Mereka menganggap akal adalah segalanya, pandangan dari seseorang yang datang dari dewan ulamak hanya sebagai penghalang kepada program yang ingin dibawa,seolah-olah kehadiran ulamak menjadi tukang sanggah dan penentang.

Walhal, mereka lupa bahawa kebijaksanaan yang paling bernilai ialah apabila menggunakan dalil dan iktibar daripada al-qur’an dan sunnah, pengalaman para salaful saleh terdahulu. Pandangan para ulamak terdahulu adalah lebih utama menjadi rujukan kita dari pandangan para pemikir barat yang tidak bertuhan itu. Apalah sangat pandangan  Socrates, plato dan Aristotle jika nak dibandingkan dengan ijtihad imam Ghazali, imam mawardi, imam Nawawi dan sebagainya.

Dengan itu, Para ulamak disarankan agar membaca dan memahami pelbagai pemikiran baru yang datang dari timur dan barat sehingga kita juga akan dapat menunjukkan kelemahan dan kekurangan pemikiran tersebut dengan lebih jelas dan teratur. Perkara ini dapat dilakukan jika kita bersedia menjadi seorang ulamak seperti imam al-ghazali yang bukan sahaja membaca pemikiran greek dan yunani malah menolak pemikiran itu dengan bukti kukuh dan diterima umum pada zamannya.

Cabaran seterusnya ialah cabaran perkembangan pendidikan dan pengajian islam. Zaman ini adalah zaman liberalisasi ilmu di mana semua orang bebas belajar apa sahaja dan dimana saja. Pendidikan islam pun dianggap tidak lengkap jika tidak dimasukkan ilmu baru yang sedang berkembang pada masa ini. Ilmu dakwah dianggap belum mantap tanpa ilmu moden seperti komunikasi, kewartawanan, penggunaan IT dan lain-lain.  Ilmu syariah dan ekonomi islam juga dianggap tidak menepati tanpa adanya ilmu perbankan, insuran dan takaful, begitulah yang berlaku seterusnya.

Sebagai menyahut cabaran inilah maka DUPP, dengan kerjasama banyak pihak mengambil langkah berani membuka kolej universiti islam zulkifli muhamad, insyaAllah kolej ini akan memulakan pengajian pada bulan julai ini dengan pengambilan seramai 50 orang pelajar. Sekarang tugas tuan-tuan pula untuk memberikan keyakinan kepada masyarakat bahawa inilah model terbaik sistem pendidikan islam yang moden yang ada dimalaysia. Tugas mengiklan, menghantar mesej kepada masyarakat dan segala bentuk kerja penyempurnaan kolej adalah tugas kita semua. Janganlah nanti selepas tiga tahun, kolej yang tersergam indah ini gagal mendapatkan pelajar kerana kegagalan kita semua meyakinkan semua pihak bahawa inilah kolej contoh terbaik yang menggabungkan sistem pendidikan islam dan moden yang akan menjamin anak-anak kita menjadi manusia islam sejati suatu hari nanti. Harapan kita, dengan adanya kursus diploma syariah dan perbankan Islam, dakwah dan komunikasi ini akan menjadi pemangkin kepada pembentukan tenaga kerja yang lebik baik pada masa akan datang, insyaAllah.

Cabaran ulamak yang seterusnya adalah dalam bidang tarbiyyah.  Dalam pas, hanya dewan ulamak sahaja yang diberi tanggungjawab penuh sebagai dewan yang bertindak memberikan tarbiyyah kepada ahli. Ketua dewan yang pada masa yang sama juga adalah ketua lajnah tarbiyyah akan berusaha meningkatkan kerja ini dengan bantuan dari para ulamak di semua peringkat.

Dengan pertambahan ahli yang ramai, maka tarbiyyah menjadi agenda utama kita untuk mempastikan kelangsungan mereka dalam parti Islam semalaysia. Kegagalan proses tarbiah dengan kehadiran ramai anggota akan menyebabkan kepincangan yang nyata dalam parti.Ini adalah cabaran terbesar kita yang dipikul oleh seluruh ulamak disemua peringkat.

Antara cabaran lain yang selalu diperkatakan kepada para ulamak ialah kurangnya penglibatan ulamak dalam memberikan kenyataan akhbar, khasnya dalam isu agama dan kepentingan umat islam. Keadaan sebegini akan cuba dibendung dan perlu difahami bahawa tidak kesemua isu harus dijawab dan dimasukkan dalam media. Apapun pemerhatian kepada isu-isu semasa tanah air dan antarabangsa perlu diperkasakan untuk menyahut seruan ulamak berkaliber yang menjuarai isu ummah.

I
ULAMAK DAN HUBUNGAN DENGAN NON-MUSLIM

Dalam konteks hubungan dengan non-muslim, ulamak perlu menyediakan teks panduan berdasarkan nas Quran dan hadis tentang kedudukan non-muslim dalam masyarakat Islam.Ulamak juga perlu menangani Isu yang melibatkan hukum dalam hubungan dengan non Muslim. Perkara ini sudah ditekankan dalam muktamar DU pada tahun lepas, namun disebabkan tajuk ini adalah semasa maka seluruh perwakilan ulamak mesti memberi idea bagi tujuan pemerkasaan ini. Begitu jugalah halnya dengan tahaluf yang telah dilakukan oleh PAS dengan non-muslim. Perlu diingatkan kepada semua ahli pas, terutamanya ahli dewan bahawa salah satu tujuan utama kita bertahaluf ialah supaya kita mempunyai ruang yg lebih luas bagi melaksanakan islam dalam politik yang kita perjuangkan. Tujuan kita bertahaluf dengan parti bukan islam adalah untuk menyampaikan dakwah islam yang sempurna kepada mereka, mengajak mereka kepada titik pertemuan yang boleh dikongsi bersama seperti keadilan, keamanan, kesejahteraan disamping meyanggah segala bentuk amalan negatif seperti ketidakjujuran, ketidakadilan, salah guna kuasa dan merebaknya maksiat.

Dengan itu, adalah sewajibnya kita meletakkan asas tersebut apabila kita diberikan sedikit kuasa di negeri yang kita berkongsi kuasa dengan PR. Usaha hendaklah dilakukan sepenuh tenaga untuk mempastikan perlaksanaan islam dalam negeri diperkukuhkan sebaik mungkin. Kita yakin dengan prinsip tadarruj dalam perlaksanaan hukum islam. Oleh itu, adalah menjadi tugas kita untuk mempastikan bahawa pengharaman arak dan judi  kepada orang islam perlu dikuatkuasakan. Begitu juga segala peraturan undang-undang pentadbiran islam di negeri–negeri hendaklah dilaksanakan sepenuhnya sehingga masyarakat islam dan bukan islam keseluruhannya dapat melihat kebaikan pemerintahan dan pentadbiran PR. Menjadi tanggungjawab dewan ulamak di negeri-negeri agar berbincang, bermuzakarah dengan pihak berkenaan sehingga semua perkara yang dinyatakan tadi dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin tanpa adanya perasaan kurang senang dari pihak-pihak tertentu.

Dengan kehadiran sejumlah besar penyokong dewan himpunan penyokong PAS dari golongan non-muslim memberikan kita peluang untuk berdakwah dan mentarbiyyah non-muslim. Maka, hendaklah kita sama-sama memikirkan strategi terbaik agar non-muslim dalam dewan himpunan bertukar dari menjadi seorang penyokong pas kepada seorang yang faham tentang islam dan seterusnya menjadi seorang pejuang keadilan dan keamanan berdasarkan kepada kefahaman mereka kepada ajaran islam.

Persahabatan, Kasih sayang dan keadilan yang diberikan atas nama kemanusiaan kepada mereka tidak cukup untuk menjamin mereka kekal bersama kita. Jika kita dapat pertingkatkan kefahaman mereka kepada islam, meningkatkan keikhlasan mereka kepada perjuangan ini, kita yakin Allah akan membuka hati mereka untuk menerima islam tanpa sebarang paksaan.

I

ULAMAK DAN PILIHAN RAYA KE-13

Pilihan raya ke-13 dalam masa yang semakin menghampiri kita adalah medan untuk kita bekerja tanpa erti penat dan lelah. Gabungan tenaga ulamak pelapis yang berwibawa dan mempunyai semangat yang berkobar-kobar dengan golongan ulamak teras akan menyemarakkan lagi gerak kerja yang disusun. Kita mengharapkan agar PRU ke-13 akan menjadikan negeri dibawah pimpinan pakatan rakyat lebih kukuh dan kuat dari yang ada sekarang dari segi jumlah kerusi, terutamanya kerusi yang dimiliki oleh pas, begitu juga kualiti Adun dan MP sehingga tidak timbul lagi kemelut politik yang tidak berkesudahan seperti yang dialami pada masa lalu.

Pakatan Rakyat dilihat semakin menempuh era kegemilangan. Kemenangan dikebanyakan pilihanraya kecil menunjukkan bahawa rakyat semakin meyakini kepada perjuangan Pakatan Rakyat. UMNO dan BN mula tidak mendapat tempat lagi dalam hati masyarakat. Cukuplah pilihan raya kecil di Sibu menjadi petanda awal kepada keruntuhan kubu BN nanti.

Oleh yang demikian, Dewan Ulamak perlu berperanan bukan sahaja sebagai sayap kekuatan parti, tetapi menjadi pusat rujukan kepada rakan pakatan khususnya dalam pentadbiran negeri. Dewan Ulamak bukan sahaja perlu dilihat gah oleh ahli parti. Tetapi perlu dilihat hebat dan mendapat perhatian di mata rakan-rakan dari pakatan. Dengan itu, Dewan Ulamak di negeri-negeri perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat serta bersedia menjadi rujukan kepada kerajaan negeri untuk memajukan negeri berteraskan kepada sistem siasah Syar’iyyah.Hal ini bagi memastikan supaya perjalanan kerajaan negeri tidak melencong daripada tuntutan nas dan keadilan Islam. Kita tidak mahu keadilan dipandang dengan kacamata kasar manusia semata-mata. Tetapi keadilan mesti disandarkan kepada Islam. inilah antara peri pentingnya tugas dan peranan Dewan Ulamak dalam menempuh era PRU ke-13 nanti.

Kemenangan yang sedia ada wajib dipertahankan oleh kesemua para Ulamak. Persediaan ini mestilah berasaskan kepada undang-undang yang yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Allah SWT telah merencanakan pelan kemenangan iaitu :

1

1.Kemenangan adalah milik Allah

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT :

Yang bermaksud: Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun Yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia mengalahkan kamu, maka siapakah Yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan Yang demikian)? dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang Yang beriman itu berserah diri. ( Al-Imran:160 )

Oleh itu, golongan ulamak perlu berdamping dengan Allah tatkala memohon kemenangan dalam apa juga gerak kerja Parti.

1

2.Kemenangan untuk orang yang membantu AgamaNya

Firman Allah SWT :

Yang bermaksud: Wahai orang-orang Yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. (Muhammad:7)

Dengan itu, marilah sama-sama kita menjadi golongan yang sentiasa membantu agama dan perjuangan Islam tanpa member banyak alasan.

1

3.Kemenangan milik orang-orang yang beriman

Firman Allah SWT :

Yang bermaksud ; Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka Sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dia lah Yang menguatkanmu Dengan pertolonganNya dan Dengan (sokongan) orang-orang Yang beriman. (Al-Anfal:62)

Maka saya menyeru kepada seluruh perwakilan agar meningkatkan prestasi iman masing-masing untuk melayakkan kemenangan datang dari Allah SWT kepada parti kita.

I

Sidang perwakilan dan pemerhati sekalian;

MENJUARAI ISU UMMAH

Penguasaan isu-isu ummah pada hari ini menjadi kewajipan para ulamak untuk mendepaninya lebih khusus lagi dalam mengenengahkan pandangan dan hukum terhadap pencabulan Israel ke atas tanah air palestin dan kewajipan umat Islam sedunia bangkit memboikot segala agenda dan produk Israel.

Kebiadaban dan keganasan Israel yang terkini dalam menyerang konvoi misi kemanusiaan yang berada dalam kapal Mavi Marmara adalah diluar pemikiran manusia yan mempunyai akal fikiran yang waras. Begitu juga penahanan terhadap kapal Rachel Corrie adalah tindakan terkutuk rejim Israel yang menuntut para Agamawan bangun memberi kesedaran kepada sebilangan umat Islam yang masih memandang kecil terhadap isu ini. Pandangan dan memorandum DU amat wajar sekali berada dalam blog-blog dan laman-laman utama khususnya laman web DU sendiri.

Kalau kita boleh merancang untuk mengadakan tamrin dan ceramah tentang isu-isu semasa tanah air dan politik, maka apa susahnya untuk kita juga mengadakan penerangan dalam dimensi ulamak terhadap kebejatan Israel kepada tanah air palestin. Walaupun sudah ramai yang telah mengadakan penerangan ini, namun cara dan pendekatan kita amat penting untuk disampaikan kepada masyarakat. Isu APCO juga perlu dinilai mengikut hukum syarak memandangkan ianya melibatkan Israel dan kerajaan bersikap mencampur adukkan pentadbiran Negara dengan kuasa lain yang sudah terjamin menjadi pengkhianat kepada manusia sejagat. Maka saya melihat isu ini adalah isu sejagat yang tidak berkesudahan dan ianya adalah petanda kepada kesatuan umat islam sedunia.

I

MEMPERKASA KEWIBAWAAN ULAMAK

Islam sering kali menyeru kepada golongan ulamak supaya bangkit menyedarkan umat Islam dan berperanan dalam menghidupkan kembali roh Islam agar ianya kembali bersinar  di alam sejagat ini. Tidak ketinggalan juga menerangkan kepada seluruh umat Islam yang masih jahil tentang hakikat Islam bahkan semakin menyimpang jauh dari sifat keinsanan.

Ulamak memainkan peranan yang sangat penting dalam institusi agama, ini tidak bermakna bahawa ulamak tidak berperanan dalam sebuah pentadbiran. Sebenarnya ulamaklah yang menjadi tunggak dalam menangani serta menentang segala bentuk penyelewengan yang berlaku di dalam sesebuah pentadbiran. Ulamak juga berperanan dalam menyusun serta menggubal sesuatu undang-undang atau peraturan mengikut susur galur yang telah ditetapkan oleh Islam. Tugas-tugas penyatuan dan penggubalan ini hendaklah dicipta bersesuaian dengan hukum asal yang berkaitan dengan mu’amalat, munakahat, ibadat dan jenayah. Kesemua tugas ini sebenarnya adalah tanggungjawab ulamak dan tugas ulamaklah yang memastikan ianya terlaksana. Sekiranya keadaan ini dapat diselesaikan, saya yakin sedikit sebanyak amalan-amalan seperti rasuah, riba, judi, arak, zina akan dapat di kurangkan dari masa ke semasa. Betapa menularnya maksiat dan gejala sosial yang bermula dari individu sehingga kerajaan adalah petanda kepada kehancuran sesebuah Negara.Terkini, kerajaan telah membenarkan judi bola sepak kepada masyarakat, maka kita mesti bangkit, bersatu untuk menentangnya dan menolak kemurkaan dari Allah SWT.

Kewibawaan Ulamak terletak kepada ketinggian budi pekerti dan thaqafah yang ada pada dirinya.Budi pekerti yang baik serta ilmu dan thaqafah mantap juga tidak menjanjikan kejayaan kerjayanya sebagai ulamak Amilin melainkan disampaikan ilmu yang dipelajarinya disamping membimbing masyarakat.Oleh itu, kewujudan Ulamak Du’at menjadi kefardhuan keatas ahli-ahli Dewan Ulamak. Ulamak Du’at masakini perlu mempunyai enam disiplin ilmu asas sebagaimana yang digariskan oleh mujtahid hari ini iaitu :

  1. Thaqafah Islamiyyah
  2. Sejarah
  3. Ilmu Bahasa
  4. Ilmu kemasyarakatan
  5. Ilmu moden dan sains
  6. Ilmu realiti kehidupan semasa(feqh waqi’)

Ulamak Du’at memerlukan kepada dua jenis peringkat feqh iaitu feqh syarak dan feqh waqie. Pembelajaran berpandukan kitab turath semata-mata tanpa kemahiran memahami realiti menyebabkan Islam ditafsir dalam bentuk sempit dan menidakkan kesyumulan Islam. Ilmu siasah juga merupakan ilmu terpenting yang perlu dipelajari pada masa kini untuk menterjemahkan Islam dengan sempurna.

Ulamak perlu dilihat lebih aktif dalam menyatakan pandangan rasmi Dewan Ulamak dalam segala isu. Ini kerana masyarakat selalu tertanya-tanya tentang pandangan rasmi DU dalam isu-isu yang berlaku,terutamanya yang memerlukan pandangan syarak. Tetapi malangnya yang mengeluarkan pandangan biasanya individu-individu dalam parti yang kadang-kadang kurang autoriti dalam mengulas isu tertentu. DU dikatakan lambat mengeluarkan pandangan, dalam keadaan sesetengah isu sangat perlu diulas dari kacamata syarak. Perkara ini telah menjadi persepsi di kalangan ramai orang. Untuk mengelakkan persepsi ini dan memperkasa peranan DU dalam menangani isu semasa, DU perlu lebih aktif menyatakan pandangan rasminya.

Selain itu, kewibawaan ulamak akan terserlah lagi dengan memperbanyakkan hasilan ilmiah yang boleh dilihat oleh masyarakat. Hasilan ilmiah merupakan bukti kehebatan dan ketokohan ulamak dulu dan kini. Namun hasilan ilmiah tersebut hendaklah boleh dilihat dan dimanfaatkan oleh masyarakat. Kadang-kadang, hasilan ilmiah telah ada, tetapi tidak disebarkan dengan baik, menyebabkan ia tidak boleh dimanfaatkan dan usaha tersebut seakan-akan sia-sia. Justeru, DU perlu memperbanyakkan hasilan ilmiah, terutamanya yang ada kaitan dengan parti, seperi tahalluf siasi dalam pendekatan bersama pakatan rakyat, non-muslim menjadi calon kepada parti islam, peranan wanita dalam politik dan negara dan yang seumpama dengannya.

Para ulamak juga perlu bertindak dengan lebih berani bagi mengeluarkan ijtihad baru dalam pelbagai masalah baru yang masih kabur dari segi perlaksanaannya walaupun mempunyai asas yang kukuh dalam sistem perundangan islam. Seminar, bengkel perlu diadakan khususnya kepada para ilmuan muda bagi menyediakan kertas perlaksanaan islam di negeri-negeri yang diperintah, agar enakmen yang sedia ada dapat dipertingkatkan lagi dari segi undang-undang dan perlaksanaannya sesuai dengan keperluan semasa.

I

PENUTUP

Sekiranya para ulamak sentiasa mengambil prihatin terhadap tanggungjawab dan peranan masing-masing, sudah tentu kepincangan dalam gerak kerja tidak akan berlaku. Terdapat dua peranan penting yang perlu dimainkan oleh ulamak yang saya nyatakan disini iaitu:

  1. Berperanan untuk membimbing masyarakat dengan bersungguh-sungguh, perlu diingatkan bahawa bimbingan ini bukannya sekadar mengajar dimasjid-masjid. Iktibar dari sirah nabawiyyah dan kesungguhan para sahabat serta ulamak salaf perlu ditauladani apabila mereka bukan sahaja menjadi guru tetapi juga menjadi murabbi, mu’addib, imam dan tempat rujukan dalam semua perkara.
  2. Bertanggungjawab memberi inzar dan menyuruh kebaikan serta melarang keras kemungkaran. Tuntutan memberikan inzar ini menjadi lebih perlu dan mustahak memandangkan keadaan masyarakat islam pada hari ini yang jauh lebih teruk dari masyarakat jahiliah dahulu. Dahulu, pemikiran dirosakkan dengan pemikiran dan akidah muktazilah, khawarij, qadariyyah dan jabariyyah dalam keadaan negara islam masih utuh dan berkuasa. Sekarang fahaman liberal, sekular, komunis, sosialis dan nasionalis bukan sahaja mempengaruhi pemikiran masyarakat tetapi menjadi anutan utama masyarakat islam. Kerajaan juga seolah-olah tidak mementingkan hal ini untuk diatasi. Perkara ini perlu ditempuhi  oleh kita semua dengan persediaan kefahaman dan kesatuan sehingga kita bukan sahaja tahu menghukum sesuatu ajaran pemikiran itu salah tetapi berupaya memberikan hujah yang berasas.

Harapan ini diletakkan keatas bahu para ulamak sekalian, bangkitlah untuk melakukan perubahan dan menjaga pemerintahan agar Negara kita direstui sebagai Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur.

Sekian, salam perjuangan yang berterusan untuk semua .Allahu Akbar Alahu Akbar Allahu Akbar, Walillahil Hamd !

I

*Ucaptama Ketua Dewan Ulamak telah dibacakan oleh Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ust. Ahmad Yaakob bagi menggantikan Ust. Harun Taib yang keuzuran.

i

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: