Malaysia atasi Israel…
July 20, 2011
…
…
Negara haram Israel diakui mempunyai pasukan keselamatan paling cekap dengan segala kelengkapan teknologi moden dibekalkan kepada mereka, sedangkan Malaysia hanyalah memiliki jet pejuang yg tiada berenjin dan 2 buah kapal selam yg ‘tidak mampu menyelam’. Ini andaian sekian ramai orang terhadap keupayaan negara kita dalam menyediakan kelengkapan untuk kegunaan pasukan keselamatan negara.
Tiba-tiba andaian ramai itu berubah 360º apabila aku membaca akhbar Sinar Harian pagi tadi. Dalam laporan akhbar tersebut, negara haram Israel dikatakan berjaya menahan seramai hampir seribu remaja Palestin semenjak 5 tahun lepas hanya kerana tindakan mereka membaling batu kepada pasukan keselamatan negara haram itu.
Ianya jauh lebih teruk dari keupayaan pasukan keselamatan Malaysia yang dalam tempoh kurang dari 5 jam sahaja berjaya menghimpunkan tahanan lebih dari seribu orang bukan sahaja terdiri dari kalangan remaja, malah kanak-kanak, perempuan, lelaki tua dan orang kurang upaya dalam Himpunan BERSIH 2.0 9 Julai lepas.
Ini secara tidak langsung menunjukkan prestasi pihak keselamatan negara kita sebenarnya tidaklah begitu teruk, malah jauh melepasi keupayaan negara haram Israel itu walaupun dengan kelengkapan serba kekurangan. Tiba-tiba aku dengan penuh insaf berasa bangga memiliki kerakyatan Malaysia.