Amik ko Haramsana…

March 8, 2010

baca dahulu berita sebelumnya di sini

i

Selama ini kita tidak berfikir untuk menyebar Islam kepada bukan Islam.  Selama ini tok-tok guru pondok kita hanya menyebar Islam sesama orang Islam. Meskipun PAS menolak pendekatan perpaduan dengan Umno, bukan bermakna PAS mengenepikan tanggungjawab menyebar Islam. Sebenarnya, perpaduan melalui Pakatan Rakyat telah membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan Rakyat yang bukan Islam.

Sebaliknya, PAS ada alasan dan sebab-musababnya kenapa menolak perpaduan dengan Umno. Antaranya:

1. Perjuangan Umno sebenarnya amat dhalalah (sesat sesesatnya), kerana menolak Islam dan mengasingkan politik dengan agama. Kesan menolak Islam itulah, banyak pihak tidak faham Islam, termasuk rakan kita yang bukan Islam.

2. Tindak tanduk Umno jelas mengkhianati perjuangan Islam,  khususnya terhadap PAS. Berpandukan pengalaman lepas, PAS  pernah membuat persetujuan masuk BN, maka ada yang menyokong dan menentang, sehingga ada kecelaruan dan munculnya golongan yang menentang kemasukan PAS dalam BN, seperti mana munculnya Bebas Bersatu sebagai serpihan PAS. Akibatnya lagi muncul pula Berjasa ketika PAS diambang kekalahan selepas diganyang Umno melalui peristiwa darurat 1977.  Semuanya adalah nilai dan kesan pengorbanan besar PAS atas semata-mata ingin bersama Umno. Namun, pengorbanan itu tidak dihargai oleh Umno. Malah, PAS telah ditendang keluar. Ia sungguh perit bagi PAS untuk berbaik semula dengan Umno atau masuk balik BN.

3. Oleh sebab itu, PAS rela dan menyatakan komitmen tinggi bersama mengukuhkan perpaduan Pakatan Rakyat.

4. Begitu pula, semenjak pilihan raya umum 2008 lalu sampai ke hari ini, Umno menuduh PAS sebagai boneka DAP. Sedangkan apa yang berlaku di Pulau Pinang sebelum ini, Umno yang mendapat kuasa majoriti. Pun begitu, pemimpin parti Gerakan yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Jelas, dalam keadaan itu, meletakkan kedudukan Umno sebagai parti yang menjadi kuda tunggangan (boneka) parti Gerakan. Di samping tidak kurang pula, ada sejumlah kerusi yang sepatutnya Umno bertanding (di kawasan majoriti Melayu), tetapi secara tidak beradab telah menyerahkan kepada pemimpin Gerakan, MCA dan MIC bertanding dengan alasan, kononnya ia simbol permuafakatan kuasa dalam BN.

5. Sekarang PAS dilihat berjaya bersama Pakatan Rakyat. Ia suatu perkembangan baik, memandangkan dulu PAS sendiri rela tidak berkawan dengan DAP, kerana ada pemimpinnya yang menyerang Islam. Sebaliknya sekarang, para pemimpin DAP termasuk Karpal Singh tidak lagi menyerang Islam. Malah berlaku perkembangan yang agak baik apabila sudah ada kalangan pemimpin Pakatan Rakyat (termasuk DAP) sudah mula pandai baca Al-Quran dan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan DAP di Pulau Pinang sudah berani berikrar mengambil contoh gaya pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz. Sedangkan Gerakan, MCA dan MIC begitu lama (sejak merdeka) bersama Umno dalam BN, mereka itu tetap tidak faham-faham agama Islam.

Jadi, bersempena dengan dua tahun usia Pakatan Rakyat ini, sukacita kiranya para pemimpin dan pendukung perjuangan Pakatan Rakyat dapat menguatkan lagi tekad ke arah membina perpaduan dan persefahaman serta keyakinan agar terus utuh di atas prinsip keadilan untuk semua rakyat. Ini kerana prinsip tersebut adalah sejajar dengan ajaran Islam yang mengutamakan keadilan untuk semua kaum di negara.

Sehubungan dengan itu, demi mengukuhkan lagi Pakatan Rakyat dan bagi mempersiapkan diri mendepani banyak lagi cabaran mendatang, maka pihak PAS sewajarnya mengadakan satu seminar atas isu ”hak-hak bukan Islam di dalam pemerintahan berteraskan Islam” bersempena Muktamar PAS akan datang.

Ada baiknya seminar itu dapat menjadikan tulisan As-Syeikh Dr. Yusoff al-Qaradhawi, bertajuk Ghairul muslimin fil mujtama’ul-Islami sebagai bahan rujukan penting untuk perbincangan. Mungkin dengan penganugerahan tokoh Maal Hijrah 1431 oleh kerajaan Malaysia kepada as-Syeikh Dr. Yusoff adalah suatu titik persetujuan awal kita bagi menerima idea-idea baik daripada beliau untuk difahami dan diamalkan dalam kerajaan. Sekaligus ia boleh diajak bersama para pemimpin politik bukan Islam menyertai seminar tersebut.

Sebenarnya, melalui seminar sedemikian, PAS boleh melakukan pendekatan yang baik dalam menghubungkan kefahaman antara pemimpin Islam dengan bukan Islam. Di samping PAS tidak seharusnya lupa terhadap jasa dan pengorbanan para ulama’ dan pemimpin Islam terdahulu. Dan sesungguhnya, pemimpin PAS sekarang begitu terhutang budi kepada para ulama’ terdahulu, kerana berkat hasil usaha mereka jugalah, sekarang ’orang Kelantan’ sudah berada di mana-mana sahaja dalam pelbagai sektor pembangunan Negeri dan Negara.

Dan, apa yang telah dilaksanakan di Kelantan hari ini adalah suatu simbol kejayaan politik Pakatan Rakyat. Maka, PAS dan kerajaan Kelantan hari ini sudah membuat banyak penambahbaikan kepada kedudukan dan kefahaman Islam itu sendiri. Ia turut merangkumi kehendak politik rakyat pelbagai kaum. Semuga akan datang, akan lahir kalangan pemimpin Islam yang mewakili pelbagai kaum – kalangan orang Cina atau India – layak menyambung sejarah Islam. Ini kerana sejarah awal Islam membuktikan orang Cina dan India terlebih dahulu menerima Islam daripada orang Melayu. Ia bermakna, orang Cina dan India layak dan mustahak turut sama menyebarkan Islam di negara ini.

Apa yang utama, penglibatan semua kaum dalam politik dan dakwah akan menyuburkan lagi nikmat persaudaraan di sebalik Allah Subhanahu wa taala jadikan manusia itu pelbagai kaum. Firman-Nya, maksudnya, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).[al-Hujuraat, 49: 13]

Semoga amalan dan kebajikan yang kita lakukan mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa taala. Panjang usia Pakatan Rakyat, panjanglah keadilan untuk semua rakyat.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,

Mursyidul Am PAS,

merangkap Menteri Besar Kelantan.

22 RabiulAwwal 1431 bersamaan 8 Mac 2010.

i

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamiin. Selawat dan salam buat penghulu para pejuang, Rasul tercinta Muhammad s.a.w., para sahabat dan keluarga baginda, serta mereka yang mengikuti jalannya serta mencontohi perilaku baginda hingga ke hari pembalasan.

Sesungguhnya perasaan kita penuh dengan kerinduan kepada Rasulullah s.a.w. Sebagai seorang yang mencintai baginda, tentu sekali kita senantiasa terkenang akan sirah  perjuangan dan lakaran pengorbanan Rasulullah s.a.w. sehingga kita semua dapat menerima cahaya keIslaman dan hidayah dari Allah untuk mengecapi nikmat berharga iman dan Islam.

Namun kita sebagai seorang Muslim perlu sentiasa bermuhasabah sejauh manakah kecintaan yang disebut dan diungkapkan ini benar-benar tertanam dengan kukuh di lubuk hati kita? Sejauh manakah kita melakukan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dalam lakaran perjuangannya, yang kemudiannya disambung tali-menali hingga ke hari ini?

Marilah kita menghayati firman Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)”. (Surah Saba’: 28)

Baginda Rasulullah s.a.w. telah pergi meninggalkan kita, dengan sama sekali tidak mewariskan kepada kita harta pusaka kekayaan, tetapi yang diwariskan adalah ilmu yang menjadi panduan hakiki, akhlak yang terpuji, sebuah perjuangan suci dan sebuah cara hidup yang sempurna.

Marilah kita sama-sama menjadikan sambutan ini menguatkan iltizam kita menegakkan sunnah baginda sepanjang tahun dan sepanjang hayat kita. Tidak cukup kita menunjukkan rasa gembira dengan bercuti, mengadakan perarakan dan berslogan mencintai Rasulullah. Akan tetapi gembirakanlah Rasulullah s.a.w. dengan mengamalkan dan menegakkan segala suruhan baginda, serta meninggalkan dan berusaha menghalang segala yang dibenci baginda.

Rasulullah s.a.w. meninggalkan sebuah perjuangan suci sebagai rahmat ke seluruh alam untuk kita sambung dan teruskan. Segala kezaliman, penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa, jenayah, yang berlaku pada hari ini hatta dari seorang yang mengaku Islam, menunjukkan jauhnya si pelakunya dari tinggalan Rasulullah s.a.w. walau dia menyambut kelahiran baginda saban tahun.

Marilah sama-sama kita pasakkan keazaman untuk menyambung perjuangan Rasulullah s.a.w. hingga ke akhir hayat kita. Sebagai seorang individu, marilah pula kita menghayati dan mengamalkan peninggalan Rasulullah s.a.w. Seorang pemimpin meletakkan azam untuk menegakkan sunnah di dalam kepimpinannya. Sebuah kerajaan lebih-lebih lagi berkomited mengamalkan segala suruhan Allah SWT dan Rasul s.a.w. di dalam segala aspek pentadbirannya.

Semoga kita semua bertambah cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan beroleh cinta Allah dan Rasul-Nya. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1431.

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG,

PRESIDEN PAS

* sumber Harakahdaily

i

i

REMAJA LEPAK BULAN RAMADHAN: PUSAT SIBER DAN KAFE SIBER LEBIH RAMAI DARI SURAU DAN MASJID

i

Dewan Pemuda PAS Kawasan Ipoh Timur (DPPK IT) kesal dan kecewa dengan suasana yang berlaku di sekitar Ipoh yang mana sudah separuh bulan ummat Islam dengan suasana beribadat puasa di bulan Ramadhan manakala sebelah malamnya menunaikan solat Sunat Tarawih dilihat bertentangan di mana remaja melepak di Pusat Siber dan Kafe Siber dan bukannya di Surau atau Masjid.

DPPK IT mendesak supaya Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan juga Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) mengambil tindakan segera dengan suasana yang berlaku kerana ianya memberikan gambaran buruk kepada masyarakat serta ianya menambah burukan lagi keadaan gejala sosial yang telah berleluasa terutama di Bandar Raya Ipoh ini.

DPPK IT mengharapkan pihak MBI dan JAIPk dapat turun padang melihat sendiri suasana tersebut dan mengambil sebarang tindakan segera untuk memulihkan suasana yang agak negatif tersebut. DPPK IT minta semua pihak menghormati bulan Ramadhan terutama kepada ummat Islam yang sedang beribadah ini.

DPPK IT menasihati supaya semua remaja agar jangan membuang masa terutama sudah hampir separuh bulan terakhir pada Ramadhan ini di Pusat Siber dan Kafe Siber. DPPK IT juga menasihati agar semua remaja menumpukan ibadah kerana akan berakhirnya separuh bulan Ramadhan dan akan menjelang bulan Syawal kelak.

i

i

AHMAD SHAHRIL JALALUDIN

Naib Ketua,

Dewan Pemuda PAS Kawasan Ipoh Timur.

i

Kenyataan Media

August 27, 2009

PASARAYA BESAR HABIS GULA: KPDNKK PERAK PERLU CARI FOMULA KONKRIT

Dewan Pemuda PAS Kawasan Ipoh Timur (DPPK IT) meminta supaya Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak mengambil beberapa langkah bagi memastikan bekalan gula sentiasa mencukupi menjelang Hari Raya tidak lama lagi bagi memastikan perayaan ini tidak terjejas akibat bekalan berkurangan atau tiada langsung bekalan gula.

 DPPK IT melihat walaupun kempen jualan gula secara terus kepada orang ramai dengan membuka gerai menjual gula di bazar-bazar Ramadan serta operasi bersepadu bazar Ramadan masih lagi menunjukkan bekalan gula masih tidak mencukupi terutama di pasaraya-pasaraya besar.

DPPK IT meminta KPDNKK Perak membuat pemantauan di pasaraya-pasaraya besar kerana di situlah tumpuan orang ramai yang akan berkunjung bersempena perayaan yang akan menjelang kelak. Dari pemantauan DPPK IT, pasaraya-pasaraya besar sekitar Ipoh menunjukkan suasana tempat jualan gula sudah kehabisan.

Oleh yang demikian, DPPK IT yakin satu fomula konkrit akan dikeluarkan oleh KPDNKK Perak bagi menyelesaikan krisis bekalan gula yang saban tahun akan di depani oleh seluruh rakyat apabila menjelang perayaaan besar. Usaha ke arah pemantauan, penguatkuasaan dan hukuman yang keras harus dikenakan kepada yang menyimpan bekalan gula tersebut.

i

i

AHMAD SHAHRIL JALALUDIN

Naib Ketua,

Dewan Pemuda PAS Kawasan Ipoh Timur.

 i

Kenyataan Media

April 16, 2009

i

IPOH, 15 April (Hrkh) – Dewan Pemuda PAS Kawasan Ipoh Timur (DPPK IT) terkejut dan kecewa dengan kenyataan Dato’ Dr Zambry Abdul Kadir di dalam media cetak mengatakan kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang baru-baru ini tidak mendapat sokongan sebahagian besar orang Melayu sebagai menafikan mahkamah rakyat bagi memilih pemimpin yang bersih dan adil.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Ipoh Timur, Salmah Salleh dalam kenyataan medianya hari ini sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Kudeta BN Perak, Zambry Abdul Kadir.

Menurutnya, DPPK IT juga kecewa dengan dakwaan pemimpin pemimpin Umno/BN yang mendakwa parti itu mendapat sokongan besar dari orang Melayu, dalam masa yang sama menyifatkan kemenangan calon PAS, Dato’ Mohammad Nizar Jamaluddin yang menewaskan calon BN, Ismail Safian di Parlimen Bukit Gantang adalah kerana PAS mendapat sokongan dari orang Cina yang telah terpedaya dan terpengaruh dengan dakyah PAS dan DAP.

“Keputusan Pilihan raya Kecil Bukit Gantang baru-baru sebenarnya petanda jelas menunjukkan rakyat tidak bersetuju dengan cara BN mengambil alih kerajaan Perak pada awal Februari lalu. BN sebenarnya menguasai kerajaan tidak mengikut peraturan dan Perlembagaan negeri serta membelakangkan undang-undang,” katanya.

DPPK IT melihat contoh sebelum ini seperti kenyataan Dato’ Seri Tajol Rosli Ghazali pernah menawarkan diri untuk meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan (Adun) Pengkalan Hulu bagi membuktikannya bahawa rakyat tidak menolak BN pada pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini akan berulang lagi dengan kenyataan yang sama.

“Kita mencabar jika benar-benar BN / Umno masih lagi diperlukan oleh rakyat Perak, Zambry boleh menjemput Nizar sama-sama memohon perkenan mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Sultan Perak bagi membubarkan DUN Perak jangan hanya membuat kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab yang akan menyebabkan pelabur takut untuk datang ke Negeri ini,” katanya.

*sumber berita dipetik di sini

i